Penerima Anugerah Cemerlang akui benih padi sah tidak terjamin kualiti - Utusan Malaysia

Penerima Anugerah Cemerlang akui benih padi sah tidak terjamin kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 6 April – Penerima Anugerah Pesawah Cemerlang 2019 di Selangor baru-baru ini mengakui bahawa bukan kesemua benih padi sah yang dibeli daripada pengilang yang diiktiraf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, adalah benar-benar berkualiti.

NORZAN ABDULLAH
NORZAN ABDULLAH 

Sehubungan itu Norzan Abdullah, 39, yang berpengalaman sebagai pesawah lebih 20 tahun, berkata, ada petani yang memilih menggunakan benih padi tidak diiktiraf iaitu sama ada dikeluarkan oleh golongan tersebut sendiri atau yang diseludup daripada luar negara.

Malah beliau sendiri mengakui pada musim penanaman akan datang ini tidak membeli benih daripada pengilang sebaliknya menggunakan benih padi dihasilkannya sendiri yang diyakini lebih baik dan bermutu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pesawah mengharapkan apabila mereka mengeluarkan wang untuk membeli benih padi sah, ia bermutu tetapi sebaliknya berlaku. Ada (benih) yang mempunyai tahap hasil pengeluaran rendah, banyak padi angin dan berpenyakit.

“Maka sebab itu, ada yang menghasilkan benih padi sendiri seperti mana saya lakukan pada musim akan datang kerana mendapat pengeluaran yang baik pada musim baru-baru ini. Ini tidak salah, asalkan kita tidak menjualnya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dilaporkan berkata, negara bakal mengalami kemerosotan bekalan beras tempatan berikutan ramai penanam padi di seluruh negara dikesan semakin cenderung menggunakan benih tidak sah yang tidak terjamin hasil pengeluarannya.

Kata beliau, masalah tersebut berpunca daripada tahap kesedaran dalam kalangan pesawah tempatan amat rendah berhubung kepentingan penanaman menggunakan benih sah.

Menurut Norzan, berdasarkan pengalamannya, beliau berpendapat bahawa bagi menghasilkan benih padi yang bermutu tinggi, ia perlu dilakukan bermula daripada pengambilan benih itu lagi.

“Ini bermakna pokok induk mestilah bebas penyakit pada musim itu dan tiada padi angin. Seterusnya cara pengangkutan benih ke kilang menggunakan kenderaan, mestilah dipastikan bebas terkena air hujan, sebagai contoh dari Selangor ke Kedah.

“Selepas itu, cara pembersihan dan pengewapan benih tersebut di peringkat kilang. Yang saya tahu, Jabatan Pertanian tidak memantau semua proses ini menyebabkan kualiti benih dikeluarkan di kilang tidak dijamin,” jelasnya.

Tambah beliau, ada juga kes manipulasi harga benih padi sah di negeri ini pada 2017 apabila benih tersebut dijual melebihi RM45 per beg iaitu seberat 20 kilogram berbanding RM33 per beg seperti mana kebiasaannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini