KUANTAN – Ibu bapa dan mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak digesa memanfaatkan sepenuhnya Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak (eDKK).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sejak berkuat kuasa 1 April lepas, hanya satu permohonan diterima di Selangor melibatkan semakan ke atas 55 nama.
“Kemudahan telah disediakan secara percuma dan sikap prihatin ibu bapa dan masyarakat boleh menyekat mereka yang pernah melakukan jenayah seksual daripada mengulangi kesalahan sama di tempat baharu.
“Mereka yang terlibat menggaji individu yang mempunyai akses kepada kanak-kanak juga perlu melakukan semakan termasuklah pengusaha taska, pemandu bas sekolah dan pusat pendidikan agama,” katanya.
Yeoh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Taska dan Forum Pendidikan Awal Kanak-kanak Negeri Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Zulkhairi Zainol Abidin. – Bernama











