ALOR SETAR 6 April – Pengumuman agihan hibah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus menunjukkan cerminan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran negara.
Malah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kesan ketidakcekapan PH mentadbir negara turut dialami oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) yang mengalami kerugian berbilion ringgit.
Kata beliau, selain itu kesan sama turut dialami agensi-agensi kerajaan lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pelaburan ekuiti.
“Tabung Haji diwariskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PH dalam keadaan baik dengan aset yang tinggi, perolehan sentiasa meningkat dan tadbir urus yang mantap.
“Walaupun ada pelaburan Tabung Haji yang mencatatkan kerugian semasa kerajaan BN atas faktor yang pelbagai, tetapi secara keseluruhan prestasinya sentiasa untung.
“Namun apabila PH mengambil alih kerajaan tahun lepas, pasaran ekuiti negara terus merosot dengan pantas dan ia telah memberi kesan kepada pendapatan Tabung Haji yang 53 peratus daripada asetnya adalah dalam bentuk ekuiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Tabung Haji mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit. Kadar hibah itu merupakan agihan terendah dalam sejarah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata, kerajaan PH telah mewarisi Tabung Haji daripada kerajaan sebelum ini dalam suasana yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.
Syed Mohd. Johan Rizal seterusnya berkata, petunjuk kegagalan PH dalam pentadbiran negara turut dibuktikan menerusi nilai pasaran saham negara direkodkan merosot, penurunan penarafan oleh agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investors Service dan peningkatan hutang negara.
Tambah beliau, seharusnya kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha-usaha dan strategi pengurusan dan pelaburan Tabung Haji pada masa depan dan bukannya terus-menerus menyalahkan kerajaan terdahulu.
“Secara tidak sedar, pihak berkenaan telah menjatuhkan kredibiliti Tabung Haji yang selama ini diyakini oleh orang Islam. Malah kenyataan Menteri (Mujahid) menyalahkan BN bersifat politik dan menjaga kepentingan diri.
“Biarlah mahkamah menentukan sekiranya wujud pecah amanah oleh mana-mana pihak atau individu dengan menjalankan pendakwaan. Apa yang penting, memberi keyakinan kepada pendeposit untuk membantu orang Islam menunaikan haji kerana kita tidak mahu akhirnya berlaku ‘Bank Run’(para pelabur menarik diri),” katanya. – UTUSAN ONLINE











