KUALA LUMPUR 6 April – Selepas lebih 10 tahun, akhirnya arahan supaya akhbar Kumpulan Utusan dihentikan langganan oleh Kerajaan Negeri Selangor telah dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat pekeliling bertarikh 21 Mac lalu yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.
Berdasarkan pekeliling itu, dimaklumkan bahawa pembatalan arahan menghentikan langganan akhbar Kumpulan Utusan sejak tahun 2008 adalah atas persetujuan Menteri Besar, Amirudin Shari.
Selain akhbar Kumpulan Utusan, yang turut ditarik balik arahan pembatalan langganan ialah akhbar Berita Harian.
“Pentadbiran ini menarik balik arahan pemberhentian langganan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian bagi jabatan, agensi dan anak syarikat di pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
“Dengan berkuatkuasanya surat pekeliling SUK ini, surat hebahan SUK bil. 40 tahun 2008 bertarikh 12 Jun 2008 dan surat pekeliling SUK bil. 2 tahun 2017 bertarikh 9 November 2017 adalah dibatalkan,” menurut surat pekeliling tersebut. – UTUSAN ONLINE











