PUTRAJAYA 5 April – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyokong sepenuhnya pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Perdana Menteri dalam sidang akhbar petang ini mengumumkan keputusan Kabinet untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom yang ditandatangani pada 4 Mac lalu, setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.

Saifuddin telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC itu.
Menurut Saifuddin, Statut Rom melibatkan dua perkara iaitu perundangan dan proses Jemaah Menteri membuat keputusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Dari segi perundangan, jelasnya, Jemaah Menteri berpendirian bahawa menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah keputusan yang tepat kerana ia mengukuhkan iltizam Malaysia dalam menegakkan keadilan di persada antarabangsa serta manfaatnya kepada negara.
“Kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terpelihara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dari segi proses membuat keputusan, Jemaah Menteri telah membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Jemaah Menteri dalam menandatangani perjanjian antarabangsa.
“Oleh itu, dari segi proses membuat keputusan, Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dan proses meratifikasi Statut Rom tidak perlu dibuat melalui Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Saifuddin berkata, sejak dahulu lagi, terdapat lebih 100 triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.
Perkara ini kata beliau, tidak perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang ditentukan oleh Perlembagaan untuk dirujuk dan tiada pindaan Perlembagaan diperlukan.
Malangnya, kata beliau, ada pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rom, termasuk soal merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah yang rasional.
“Pihak ini juga dengan sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik dengan niat untuk menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan dan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dipilih melalui proses demokrasi,” jelas beliau.
Tambah Saifuddin, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan akan terus berpegang teguh kepada prinsip Raja Berpelembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE










