TSG, TSC bakal bersaing sengit - Utusan Malaysia

TSG, TSC bakal bersaing sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAINGAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 bakal menyaksikan pertembungan antara Terengganu Inc. TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling dalam perebutan untuk meraih kedudukan No. 1 bagi kategori Jelajah Asia.

Menurut laman web rasmi Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), TSC masih kekal sebagai pendahulu Jelajah Asia dengan mengumpul 1,219 mata manakala TSG mengekori rapat di kedudukan kedua dengan perbezaan 29 mata.

Pakar pecut TSG, Mohamed Harrif Saleh menjelaskan, mata yang tinggi ditawarkan pada perlumbaan berstatus 2.0 HC (Hors Class) itu akan menyaksikan kedudukan semasa pada ranking UCI bakal berubah sebaik LTdL 2019 tamat pada 13 April ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada tahun ini, saya yakin peluang untuk pelumba tempatan meraih podium sangat terbuka kerana tiada penglibatan pasukan Jelajah Dunia.

“Pasukan kami sememangnya memberi fokus untuk memburu kedudukan No. 1 Jelajah Asia, namun ia memerlukan kami meletakkan misi mengekalkan gelaran juara keseluruhan (jersi kuning). Apa-apa pun kita tengok bagaimana perancangan jurulatih.

“Seperti sedia maklum, saya merupakan pakar pecutan dan laluan berbukit bakal memberi kesukaran kepada saya. Tetapi saya jangkakan semua pelumba akan mengalami kesukaran sebaik mendaki laluan Genting Highlands.

“Tidak semua pelumba boleh mendaki laluan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur semalam.

LTdL 2019 akan membuka tirai hari ini dengan peringkat pertama dari KLCC ke Tampin sejauh 176.9 kilometer (km), diikuti dengan peringkat Senawang-Melaka, Muar-Putrajaya, Shah Alam-Genting Hinglands, Tanjung Malim-Tampin, Bagan-Alor Setar, Pantai Cenang-Langkawi dan berakhir dengan Dataran Lang-Kuah.

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan terdiri daripada Mitchelton-Bike Exchange dari China, Vino-Astana Motors (Kazakstan), Bardiani CSF (Itali), Androni Giocattoli-Sidermec (Itali), Gazprom-Rusvelo (Rusia), Neri Sottoli Selle Italia KTM (Itali), TSC (Malaysia), pasukan kebangsaan Jepun, Customs Cycling Indonesia dan KSPO Bianchi Asia Pro Cycling (Korea Selatan).

Selain itu Giant Cycling Team (China), Floyd’s Pro Cycling (Kanada), Pro Racing Sunshine Coast (Australia), St. George Continental Cycling Team (Australia), Interpro Cycling Academy (Jepun), Team UKYO (Jepun), Olivers’s Real Food Racing (Australia), Protouch (Afrika Selatan), Brunei Continental Cycling Team, Shenzen Xidesheng Cycling Team (China), pasukan kebangsaan Malaysia dan TSG (Malaysia) turut bertanding.

Menurut ketua pasukan TSG, Mohd. Zamri Saleh, pasukannya bakal turun dengan lebih yakin pada perlumbaan edisi ke-24 itu selepas menjalani latihan intensif selama tiga minggu di Melbourne, Australia.

“Kami membuat persiapan rapi untuk LTdL kali ini. Saya secara peribadi turut meletakkan sasaran podium memandangkan saya pernah beberapa kali menaiki podium pada tahun lalu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini