UMUM mengetahui kanak-kanak memang berminat menonton cerita animasi. Semasa zaman penulis kanak-kanak pun, pelbagai cerita animasi ditayangkan dalam televisyen. Namun cerita-cerita ini datangnya dari negara-negara asing. Tiada satu pun cerita animasi ini berbentuk tempatan. Ada antara cerita animasi ini diangkat sebagai superhero negara-negara tersebut terutama Amerika Syarikat (AS). Bukan setakat dalam televisyen, cerita-cerita tersebut difilemkan, seterusnya ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh dunia. Malah cerita-cerita tersebut boleh didapati dalam bentuk komik serta pelbagai bentuk barangan yang dijual kepada peminatnya.
Tidak kurang juga taman tema yang menjana begitu banyak wang dalam industri tersebut. Daripada kisah yang direkacipta, seterusnya menarik begitu banyak wang dalam industri ini. Pada masa sama mengangkat superhero yang secara tidak langsung melonjak kredibiliti dan semangat rakyat negara-negara tersebut. Di Malaysia tidak kurang juga terdapat pelbagai cerita rakyat.

Namun cerita-cerita rakyat ini dikisahkan dari mulut ke mulut sahaja dan kurang dibuat dalam bentuk animasi. Maka pada cuti sekolah minggu lalu, penulis sekeluarga cukup teruja untuk menonton filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Hal ini berlaku sedemikian kerana ramai yang memberi pandangan bahawa filem tersebut amat menarik dan wajar ditonton. Jadi, adalah wajar juga bagi penulis menonton sendiri filem tersebut. Melihat ramai yang beratur untuk membeli tiket sudah cukup menggambarkan filem tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh para peminatnya.
Meskipun filem tersebut berasaskan siri televisyen Upin dan Ipin, namun bezanya cerita-cerita rakyat dimasukkan di dalam filem tersebut membuatkannya begitu unik untuk dihayati oleh para penonton. Cerita-cerita rakyat seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Nujum Pak Belalang dan Bawang Putih Bawang Merah menjadikan filem ini menarik sekali. Malah, antara perkara positif yang dimasukkan dalam filem tersebut ialah elemen memaafkan seseorang seperti si ibu memaafkan anak derhaka telah menambahkan lagi kualiti jalan cerita filem tersebut. Jalan cerita filem tersebut diolah begitu baik dengan kualiti grafik yang cukup cantik, menarik perhatian penonton.
Penulis berpendapat, filem ini boleh pergi jauh ke peringkat lebih tinggi kerana banyak pengajaran dan wajar dipasarkan di negara-negara lain di seluruh dunia dengan menggunakan bahasa mereka. Malah lebih hebat lagi, sudah sampai masanya cerita-cerita rakyat diangkat dalam bentuk filem dan seterusnya dijadikan satu industri secara besar-besaran. Cuma diperlukan elemen yang positif dan mengangkat semangat individu dan negara agar cerita-cerita rakyat menjadi kekuatan buat masyarakat Malaysia. Bagaimana negara-negara lain menggunakan kisah yang direkacipta, begitu juga kita boleh sahaja menjadikannya sesuatu yang positif buat rakyat Malaysia. Sememangnya filem tempatan memiliki kualiti tersendiri. Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal sudah membuktikan betapa kualiti filem tempatan terutama berbentuk animasi juga amat baik. Apa yang penting, kita semua wajar menyokong produk filem-filem tempatan yang berkualiti sebegini. Seterusnya, melonjak industri filem tempatan terutamanya filem animasi yang memiliki potensi bisnes cukup bagus dan mampan untuk negara.
PROFESOR MADYA DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).











