Kian Meng, Pei Jing penyelamat Malaysia - Utusan Malaysia

Kian Meng, Pei Jing penyelamat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 April – Bayangkan Terbuka Malaysia tanpa pemain Malaysia.

Itu yang hampir berlaku hari ini sebelum Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya muncul penyelamat maruah negara apabila menjadi wakil tunggal tuan rumah mara ke separuh akhir dalam kejohanan badminton berprestij yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Peminat badminton negara sebelum itu cemas apabila pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan No. 2 dunia, Wang Yilyu-Huang Dongping dari China dalam aksi sengit 19-21, 21-16, 25-27 dalam suku akhir yang diadalah pada sebelah petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Debaran mereka kian kencang apabila Kian Meng-Pei Jing tewas 17-21 kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow pada set pertama, sebelum bangkit untuk menang 21-16, 21-16 dalam dua set berikutnya.

“Pada set kedua, kami bermain cara mudah dengan mempelbagaikan pukulan servis dan berjaya pecahkan dominasi mereka untuk meraih mata hingga ke set terakhir,” kata Pei Jing sejurus tamat perlawanan.

Kemenangan itu bakal menemukan Kian Meng-Pei Jing dengan Yilyu-Dongping dalam separuh akhir esok.

Kepada peminat yang berkesempatan, jangan lupa memenuhkan Axiata Arena untuk memberi sokongan kepada wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan Siri Super Jelajah Dunia Super 750 bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta).

Perlawanan pertama separuh akhir esok akan bermula pada pukul 12 tengah hari.

Selain cabaran Kian Meng-Pei Jing, turut mencuri tumpuan esok pasti pertembungan juara dunia lima kali, Lin Dan yang akan bertemu rakan senegara dari China, Shi Yuqi manakala satu lagi separuh akhir perseorangan akhir menyaksikan jaguh Indonesia, Jonatan Christie bertemu Cheng Long (China). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini