Harga benih padi haram jauh lebih murah - Utusan Malaysia

Harga benih padi haram jauh lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 5 April – Benih padi haram dikatakan menjadi pilihan segelintir penanam padi di negeri ini kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding benih padi sah.

Rata-rata petani mendakwa, harga benih padi haram adalah hampir separuh daripada harga benih padi sah sedangkan kualiti kedua-dua jenis benih terbabit adalah sama.

Malah mereka mendakwa, hasil pengeluaran benih padi haram yang diperoleh juga tidak jauh berbeza dengan hasil pengeluaran benih padi sah.

Memuatkan artikel berkaitan…
AZUARI NAWI
AZUARI NAWI 

Seorang petani, Azuari Nawi, 36, berkata, bagi petani yang kekurangan modal sudah pasti mereka akan memilih benih haram yang jauh lebih murah dan semakin mudah diperolehi.

“Boleh dikatakan, penggunaan benih haram ini semakin berleluasa terutamanya melibatkan benih padi CL dan 370,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penggunaan benih tidak sah berisiko membawa penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) dan bakal menjadi pemangkin kepada penyebaran penyakit tersebut ke tapak-tapak sawah seluruh negara.

Malah apa yang le­bih membimbangkan, se­hing­ga kini tiada racun kimia yang berkesan untuk tujuan kawalan sekali gus serangan serius di kawasan penanaman akan menyebabkan petani kehilangan hasil hampir 80 peratus.

NAZRI HASSAN
NAZRI HASSAN 

Sementara itu, seorang lagi petani, Nazri Hassan, 48, berkata, selain faktor harga, kekurangan bekalan benih padi sah juga menjadi penyebab kepada penanam padi memilih benih haram.

“Bekalan benih padi sah ini sering kali tidak mencukupi dan kadang-kala petani terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan benih padi sah.

“Kekurangan bekalan ini akan memberi kesan kepada jadual penanaman padi sekali gus menyebabkan petani terdesak dan terpaksa menggunakan benih haram,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini