JOHOR BAHRU 5 April – Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 17.4 juta pelancong pada tahun depan sempena program Tahun Melawat Johor 2020 dan penganjuran Sukan Malaysia 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, sehubungan itu pihaknya menggesa semua pihak memainkan peranan proaktif untuk menjayakannya.
“Johor merupakan sebuah negeri yang penuh dengan tarikan pelancongan seperti lokasi menarik dan makanan istimewa. Pada tahun 2018 kita berjaya menarik kehadiran seramai 15.84 juta pelancong.
“Tahun ini kita menyasarkan seramai kehadiran seramai 16.6 juta pelancong manakala bagi Tahun Melawat Johor 2020, kita menyasarkan seramai 17.4 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pelancongan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Johor di pusat beli-belah Capital Mall Johor Bahru, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Matta Johor, Kathryn Lee.
Karnival Pelancongan Matta itu dianjurkan selama tiga hari bermula hari ini dengan penyertaan 150 ejen pelancongan yang menawarkan pakej pelancongan domestik dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










