[VIDEO] Caklempong MRSM Kuala Klawang tular - Utusan Malaysia

[VIDEO] Caklempong MRSM Kuala Klawang tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU 5 April – Video kumpulan caklempong Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang mendendangkan lagu, ‘Ddu-Du Ddu-Du’ yang tular sejak awal bulan lalu kini telah mencecah 1.6 juta tontonan.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

Video oleh Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Video selama 2.22 minit oleh kumpulan yang dinamakan, Lentera Kesuma itu mula menarik perhatian ramai selepas dimuat naik di laman YouTube pada 1 Mac lalu.

Pengurusnya, Nurin Alyani Bizaini berkata, seramai 20 pelajar MRSM itu mengambil masa kira-kira seminggu untuk memahirkan diri mendendangkan lagu kumpulan Korea berkenaan.

“Mereka menyahut cabaran saya apabila berjaya menggunakan kemahiran masing-masing untuk mencari rentak sesuai dengan lagu kumpulan K-Pop itu tanpa tunjuk ajar guru.

“Kami berasa gembira kerana dapat memperkenalkan seni muzik caklempong kepada orang ramai terutama golongan muda,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Guru Penasihat Kelab Kebudayaan MRSM Kuala Klawang itu, kumpulan caklempong sememangnya telah wujud di MRSM berkenaan sejak tahun 2007, namun diberi nafas baharu dengan penubuhan Lentera Kesuma kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata, yang membanggakan apabila mereka berjaya memenangi dua pertandingan di peringkat kebangsaan dalam tempoh dua tahun penubuhannya.

Katanya, kejayaan yang diraih ialah muncul juara Festival Kesenian Muzik Tradisional MRSM Se-Malaysia (Fesma) Kali Ke-6 pada 2017 dan disusuli Anugerah Emas Festival Kesenian Muzik Sekolah-sekolah Menengah Malaysia 2018 (Kategori Caklempong).

Ujarnya, dengan sokongan dan bantuan pihak pengurusan MRSM Kuala Klawang, seni caklempong kini mendapat sambutan para pelajar yang semakin berminat dengan seni tradisi Melayu itu.

Kisah kumpulan ini turut disiarkan dalam ruangan Mega Utusan Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini