KUALA LUMPUR 5 April – Beberapa laluan di sekitar ibu kota akan ditutup sempena Le Tour De Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, acara perlumbaan itu akan bermula di hadapan banggunan KLCC Jalan Ampang di sini.
Menurutnya, susulan itu, lencongan awal akan dilakukan bermula hari ini di kawasan tersebut pada pukul 11 malam bagi kerja-kerja persiapan logistik dan teknikal.
“Keesokkannya pula, acara perlumbaan yang dijangka berlangsung pada pukul 12 tengah hari itu akan melibatkan beberapa kawasan iaitu Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu dan Jalan Maharajalela.
“Selain itu, perlumbaan itu juga akan melalui Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Lebuh raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), bulatan Kuari dan Jalan Kuari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkefly memberitahu, beberapa jalan utama di sekitar ibu negara juga akan ditutup bermula 11 pagi sehingga selesai.
“Oleh itu, orang ramai dinasihati merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Kami juga menyarankan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke destinasi dan sentiasa mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











