Semangat juang Helang Merah ‘lain macam’ - Utusan Malaysia

Semangat juang Helang Merah ‘lain macam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Kedah, Aidil Sharin Sahak kagum dengan semangat juang pemainnya yang berjaya mempamerkan kebangkitan menakjubkan ketika ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Selangor United 3-2 pada perlawanan pusingan kedua­ Piala FA di Stadium Darul Aman kelmarin.

Menurut Aidil, kejayaan itu membuktikan bahawa para pemainnya mempunyai keazaman dan semangat juang yang luar biasa untuk bangkit melakar kemenangan meskipun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Secara keseluruhan, saya hargai pengorbanan dan kebangkitan para pemain pasukan ini selepas ketinggalan dua jaringan dan memenangi perlawanan malam tadi (kelmarin).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semangat juang mereka memang sangat tinggi seperti sikap yang ditunjukkan Baddrol Bakhtiar, walaupun cedera dia tetap mahu meneruskan permainan dan ia sesuatu yang baik untuk moral pasukan,” kata Aidil kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.

Pertemuan tersebut terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi penuh 90 minit.

Tiga gol skuad Helang Merah dijaringkan oleh Jonathan Bauman pada minit ke-52, Zaquan Adha Abdul Radzak (67) dan Fernando Rodriguez pada minit (111), manakala dua gol pasukan pelawat disumbangkan oleh Mohd. Norhafizzuan Jailani pada minit kesembilan dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero (48).

Aidil berkata, kesilapan dan kealpaan yang sering dilakukan Kedah pada babak pertama permainan telah menyebabkan pasukan lawan bijak mencuri peluang dan menja­ringkan dua gol.

“Saya ambil tanggungjawab ini untuk memastikan kesilapan yang berlaku tidak akan berulang lagi pada masa depan dan saya mahu semua pemain kekalkan fokus bagi tingkatkan prestasi apabila bertemu dengan Kuala Lumpur dalam sai­ngan Liga Super Sabtu ini,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini