VALENCIA – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane tidak mahu menyalahkan skuadnya yang gagal beraksi cemerlang sehingga ditewaskan Valencia 1-2 pada saingan La Liga di Stadium Mestalla awal pagi semalam.
Keputusan tersebut turut menyaksikan kekalahan pertama Zidane sejak kembali menjadi jurulatih Real pada 11 Mac lalu.
“Saya tidak boleh salahkan para pemain kerana mereka sudah cuba sedaya upaya untuk meraih kemenangan. Kami berdepan dengan pasukan yang kuat dan sudah semestinya keputusan ini (tewas) boleh berlaku.
“Real sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik menerusi penguasaan bola. Perkara yang menyebabkan kami tewas ialah kami gagal menjaringkan gol pertama, sebaliknya ia terlebih dahulu diraih pasukan tuan rumah.
“Saya tidak dapat nafikan bahawa kami berdepan kesukaran mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Benteng pertahanan Valencia begitu ampuh sehingga menyebabkan Real sukar memasuki ke kawasan gawang gol,” katanya.
Perlawanan itu menyaksikan pemain tengah, Goncalo Guedes meledakkan gol pembukaan pada minit ke-35 sebelum Ezequiel Garay menggandakan gol buat Valencia pada minit ke-83.
Real bagaimanapun berjaya meraih gol sagu hati hasil percubaan penyerang, Karim Benzema pada waktu kecederaan. – Agensi











