LONDON – Jaguh dunia, Lewis Hamilton menjadi penerima gaji tertinggi dalam sejarah Formula Satu (F1) dengan pendapatan AS$489 (RM1.994 bilion) sepanjang kariernya sebagai pelumba.
Pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas itu memiliki kontrak bernilai AS$57 juta (RM232.53 juta) setahun dan merupakan kontrak termahal dalam kalangan 20 pelumba F1 yang masih aktif.
Hamilton, 34, kelahiran Britain berjaya memintas pendapatan legenda F1 sepanjang zaman, Michael Schumacher yang meraih pendapatan AS$464 juta (RM1.89 bilion) sepanjang kariernya.
Hamilton yang menjuarai F1 sebanyak lima kali turut memintas pendapatan berjumlah AS$458 juta (RM1.868 bilion) milik pelumba Sepanyol, Fernando Alonso yang bersara daripada saingan F1 baru-baru ini.
Pemandu yang menerima gaji tertinggi seterusnya ialah pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dengan pendapatan dianggarkan AS$358 juta (RM1.460 bilion), diikuti Kimi Raikkonen daripada pasukan Alfa Romeo Racing berjumlah AS$331 juta (RM1.350 bilion) sepanjang karier masing-masing. – Agensi











