31 warga asing ditahan dalam Op BAH - Utusan Malaysia

31 warga asing ditahan dalam Op BAH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 20 pelacur serta 11 pekerja warga asing ditahan dalam serbuan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) di dua lokasi di ibu negara lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 11 malam itu menyasarkan premis yang didapati menyalahgunakan lesen operasi dengan menjalankan kegiatan pelacuran.

“Sebanyak dua buah premis telah diserbu malam ini dan serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat rawatan kesihatan di Jalan Radin Tengah, Sri Petaling yang mendakwa menjalankan operasi spa serta bekam namun didapati menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai empat wanita warga Thailand telah ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati pelanggan premis ini boleh membuat tempahan awal wanita warga asing yang diingini melalui aplikasi WeChat,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di lokasi serbuan di sini.

Ops BAH Siri 12 kali ini yang diketuai oleh DBKL turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut Osman, dalam serbuan kedua yang dibuat di Jalan Radin Bagus, juga di Sri Petaling, seramai 16 wanita warga asing dari Thailand, Indonesia dan Vietnam telah berjaya ditahan.

“Premis berkenaan didapati tidak memiliki sebarang lesen operasi dan menawarkan perkhidmatan seks melibatkan wanita warga asing dari Thailand, Vietnam serta Indonesia malah pelanggan juga dibenarkan membawa wanita-wanita ini keluar dari premis untuk melakukan hubungan seks di hotel-hotel berdekatan.

“Premis tersebut turut menyediakan lebih kurang dua puluh buah bilik kecil bagi memudahkan pelanggan melakukan hubungan seks dengan kadar bayaran kira-kira RM160 hingga RM200 bagi satu sesi,” jelas beliau.

Tambah Osman, kesemua wanita warga asing yang berusia dalam lingkungan hujung 20-an sehingga awal 30-an itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak DBKL kemudiannya melakukan kerja-kerja pemecahan struktur binaan tanpa izin yang terdapat di premis berkenaan dan telah bertindak menyita kedua-dua premis tersebut,” tegas beliau.

Dalam pada itu, serbuan yang dilakukan ke atas premis kedua tersebut telah membawa kepada penemuan sebuah asrama pekerja warga asing yang menempatkan pekerja tapak binaan di kawasan berhampiran.

Osman berkata, asrama pekerja warga asing berkenaan terletak di tingkat dua rumah kedai tersebut dan semakan yang dilakukan mendapati majoriti daripada penghuni asrama itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Seramai 11 individu warga asing berusia di antara 30-an hingga 40-an yang majoritinya dari Bangladesh telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pekerja warga asing ini ditempatkan di dalam bilik-bilik kecil yang dibina untuk memuatkan empat hingga lima individu dengan kadar bayaran dianggarkan RM100 seorang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini