KUALA LUMPUR 4 April – Alumni Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan agar Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) memberikan keutamaan kepada masalah yang dihadapi graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang universiti itu.
Alumni fakulti itu bagi sesi akademik 2011-2016, Muhamad Amirul Razali menyokong penuh kenyataan kementerian tersebut kerana isu pengiktirafan graduan sudah lama dibangkitkan tetapi masih tidak mendapat jawapan.
‘‘Selepas LPQB melawat FSU pada 2017, USIM telah mengubah silibus selari dengan permintaan lembaga itu dan kami belajar sama seperti graduan undang-undang dari universiti awam lain.
‘‘Jika FSU USIM perlu mengadakan kursus tambahan selama enam bulan bagi empat kursus sebelum sijil dapat diiktiraf, lembaga itu harus memperincikan tarikh kursus tersebut, bukan hanya berdiam diri,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai lembaga itu mengumumkan Sijil Amalan Guaman (CLP) akan menerima pakai kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahap Senior Middle 3 bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbincangan dengan beberapa pihak.
Bagaimanapun, Exco Biro Akademik dan Mahasiswa Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin mempertikaikan perkara tersebut kerana menurut beliau, adalah lebih penting untuk LPQB mengiktiraf Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang USIM terlebih dahulu.
Seorang lagi alumni, Nurul Shahida SamsulAzlan meminta agar LPQB memandang usaha keras pihak atasan FSU USIM untuk mendapatkan pengiktirafan bagi program itu sejak beberapa tahun lalu tetapi masih gagal.











