JOHOR BAHRU 4 April – Persatuan yang memohon untuk menganjurkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada tahun ini perlu berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman berkata, permohonan bagi tujuan itu sudah pun dibuka sejak 1 Mac lalu sehingga 15 April ini.

Menurut beliau, penganjur yang berdaftar dengan ROS merupakan antara penambahbaikan yang dibuat pihaknya.
“Dijangka lebih kurang 40 bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri akan dianjurkan dalam kawasan MBJB pada tahun ini.
“Sehubungan itu saya mengingatkan kepada penganjur bazar dan peniaga untuk mematuhi syarat ditetapkan khususnya daripada segi kebersihan dan imej,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah, Bangunan MBJB, di sini hari ini.
Amran turut memberi peringatan kepada pihak penganjur agar tidak mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sewa yang keterlaluan.
“Saya ingatkan kepada penganjur dan peniaga untuk mematuhi syarat-syarat ditetapkan dan MBJB tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas,” ujarnya.











