GUA MUSANG 4 April – Lebih 200 penduduk yang juga aktivis Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kuala Tool menyertai program Taklimat Pendidikan Keselamatan Kejiranan yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kampung berkenaan, di sini baru-baru ini.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Asisten Superintenden Che Yob Pin.
Dalam ceramah berkenaan, Che Yob mengingatkan masyarakat bahawa jenayah mesti dibendung secara berjadual tanpa mengira bangsa, latar belakang dan peringkat umur.
Katanya, pelbagai perbuatan jenayah seperti merosakkan harta benda, bergaduh, mencuri, memeras ugut dan lain-lain perlu dilihat secara serius oleh semua pihak.
“Gejala itu bersifat berbahaya. Ia mendatangkan kesan negatif dan mengancam kesejahteraan masyarakat sekiranya tidak ditangani secara serius di peringkat awal.
“Kita berharap warga KRT terus melaporkan kepada polis apabila mengesan sebarang perlakuan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya semasa memberikan ceramah dalam Taklimat Pendidikan Keselamatan, di pekarangan Tabika Perpaduan, Kampung Kuala Tool, di sini.
Yang turut hadir, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Gua Musang, Mohd. Kasyful’ Asri Mohamad Salim dan Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah, Norma Daud.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu juga turut mengadakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan menyampaikan bantuan kepada 12 keluarga kurang bernasib baik di kampung itu.
Sementara itu, Mohd. Kasyful’ Asri berkata, penduduk di setiap KRT perlu didedahkan dengan aspek pencegahan jenayah agar lebih berwaspada dan tidak menjadi mangsa jenayah.
“Kami amat menghargai hubungan akrab dengan IPD Gua Musang yang banyak membantu mendidik masyarakat setempat bagi membanteras jenayah.
“Kita tidak mahu kadar perlakuan jenayah meningkat. Kita perlu sama-sama memeranginya. Sebelum kadar tersebut mencapai tahap membimbangkan, wajarlah kita sama-sama memeranginya secara menyeluruh,” tegas beliau.











