GUA MUSANG – Muhamad Arshad Daniel Halim, 12, atau Daniel yang menghidap penyakit ketumbuhan misteri selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam tadi.
Ibunya, Zariah Wahab, 39, berkata, keadaan Daniel stabil dan memberi reaksi positif selepas anak ketiga daripada lima beradik itu menjalani pembedahan, kira-kira pukul 2 petang semalam.
Beliau yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil berkata, anaknya itu dimasukan ke hospital berkenaan pada Isnin lalu.
“Pembedahan itu mengambil masa hampir 10 jam sebelum Daniel keluar dari bilik pembedahan pada pukul 12 tengah malam.
“Melihat kepada keadaannya, Daniel sudah stabil dan perlu ditahan di wad untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zariah berkata, doktor menasihatkan Daniel supaya tidur dalam keadaan meniarap selama sebulan selepas dia selesai menjalani pembedahan itu.
“Saya bersyukur apabila pembedahan sudah berjaya dilakukan. Daniel sudah sedar dan menangis kegembiraan apabila pembedahannya dilakukan dengan selamat.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan pembedahan ini serta mendoakan kesihatan Daniel pulih seperti sedia kala ,” katanya.
Pada 19 Mac lalu, Kosmo! melaporkan kisah Daniel yang menanggung derita penyakit ketumbuhan misteri sejak lahir.
Sejak sebulan lalu, penyakit ketumbuhan di belakang pinggangnya semakin serius apabila semakin membesar dan keluar darah.
Ketumbuhan sebesar mangkuk seberat 500 gram itu menghalang Daniel untuk ke sekolah apabila dia mengadu sakit serta sukar untuk memakai seluar. – K! ONLINE











