Pengutip hutang bank kejam, Bank Negara buatlah sesuatu - Rosland - Utusan Malaysia

Pengutip hutang bank kejam, Bank Negara buatlah sesuatu – Rosland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 April – Bagaimana boleh hutang lapuk yang melebihi tempoh enam tahun atau dikategorikan `fail ditutup’ boleh dituntut semula oleh bank dengan melantik pengutip hutang untuk menyita harta dan kediaman pihak peminjam?

Lebih memburukkan keadaan lagi, ejen pemungut hutang atau debt collector yang dilantik seringkali pula bertindak kasar dan berbuat sewenang-wenangnya terhadap peminjam termasuk menimbulkan ancaman keselamatan.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif kepada Utusan Malaysia bahawa pihaknya menerima antara enam hingga 10 panggilan sehari daripada orang ramai mengadu perilaku tidak beradab pengutip hutang dilantik bank.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) membenarkan pengutip hutang diupah oleh bank tetapi dalam perjanjian yang dipersetujui antara peminjam dan bank yang terdahulu (awal) tidak menyebut penglibatan pihak ketiga.

“Mereka ini (pengutip hutang) ada yang menyamar, `berlakon’ dengan memaki-hamun dan bertindak kasar terhadap peminjam. Ini bukan budaya kita sehingga dalam aduan yang kami (4PM) terima, mereka sanggup menukar mangga kunci dan menyebabkan anak-anak terkurung dalam rumah.

“Menghairankan lagi dalam tempoh enam tahun, kenapa pihak bank tidak buat penyitaan tetapi selepas enam tahun, barulah arahkan peguam untuk sita harta atau rumah peminjam sedangkan harta berkenaan mungkin bukan lagi milik peminjam tetapi ibu bapa mereka.

“Bank Negara buatlah sesuatu untuk meredakan keadaan yang semakin serius ini daripada tindak tanduk tidak beradab pengutip hutang,” kata beliau hari ini.

Sehubungan itu, tegas Rosland, pihaknya mencabar bank-bank supaya mengeluarkan surat kepada orang ramai bahawa pihak mereka mendapat kebenaran daripada Bank Negara untuk bertindak sesuka hati menekan peminjam supaya melunaskan pinjaman atau menyita harta dan kediaman.

Rosland yang mengggerakkan 4PM, sebuah badan bukan kerajaan yang menyelesaikan isu-isu permasalahan kredit boleh dihubungi di talian 0193971000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini