JABATAN Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan 21 tahun lalu. Ketika itu, JKSM hanya ada 15 orang warga kerja, terdiri dari Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie (KP/KHS) dan pegawai sokongan lain. Kini warga kerjanya melebihi 370 orang.

Dalam tempoh dua dekad ini, JKSM dipimpin oleh tiga individu yang pada satu masa dulu pernah menjadi ‘pelajar’ sewaktu saya berkhidmat sebagai Timbalan Dekan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Petaling Jaya.
Ketika itu mereka mengikuti program Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) selama dua tahun di universiti tersebut. Program ini kekal hingga sekarang dan menjadi satu pra-syarat penting untuk melayakkan seorang itu dilantik menjadi Hakim Mahkamah Syariah di negara ini.
Tiga individu yang pernah memimpin JKSM dalam tempoh dua dekad ini adalah Tan Sri Sheikh Ghazali Ab. Rahman (1998 hingga 2010), Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut (2010 hingga 2017) dan Datuk Mukhyuddin Ibrahim (2017 hingga 17 Mac 2019).
Saya mula kenal Sheikh Ghazali sewaktu beliau menjadi Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan dan sewaktu beliau mengikuti program DAIJ itu. Apabila kemudian dilantik menjadi KP/KHS JKSM, beliau telah memperkenalkan satu program latihan bersiri di seluruh negara agar semua warga kerja mahkamah syariah berpeluang mendapatkan

kefahaman mengenai enam undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan. Saya sering diundang mengendalikan program latihan ini selama beberapa tahun sehinggalah saya berhijrah ke Alor Setar pada tahun 1996.
Kebaikan dan keberkesanan program latihan ini diiktiraf oleh Kerajaan Brunei. Pada satu ketika saya telah diundang oleh kerajaan itu selama enam kali untuk mengendalikan bengkel kemahiran yang serupa untuk Hakim-Hakim Mahkamah Syariah di negara itu.
Saya mula kenal Ibrahim ketika beliau mengikuti program DAIJ di UIA dulu. Pada ketika itu beliau adalah s Pendakwa Syarie di Melaka.
Selepas tamat pengajiannya di UIA, beliau dilantik menjadi hakim dan seterusnya naik pangkat sehinggalah ke peringkat Hakim Mahkamah Rayuan di JKSM Putrajaya. Ini berlaku kerana Melaka menjadi salah satu dari lima negeri (selain Wilayah Persekutuan) yang sebumbung di bawah JKSM.
Apabila Sheikh Ghazali bersara, tempatnya diisi oleh Ibrahim kerana beliau merupakan orang yang paling kanan selepas Sheikh Ghazali.
Sewaktu memimpin JKSM selama tujuh tahun, Ibrahim telah menubuhkan Bahagian Sokongan

Keluarga (BSK) yang berperanan penting membantu isteri-isteri dan anak-anak dalam memaksa suami /bapa melaksanakan perintah nafkah Mahkamah Syariah.
Saya mula kenal Mukhyuddin sewaktu beliau mengikut program DAIJ di UIA itu dan kemudian menjadi Hakim syarie di Selangor.
Sewaktu Mahkamah Syariah Selangor dipimpin oleh KHS Datuk Johdi Toha, saya kerap diundang oleh beliau mengendalikan bengkel kefahaman undang-undang di negeri itu dan waktu itulah saya sempat berkenalan rapat dengan ramai warga kerja mahkamah syariah di negeri itu.
Minggu lalu, media melaporkan bahawa Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar (berusia 51 tahun) dilantik sebagai KP/KHS JKSM yang keempat, mulai 1 April 2019 ini.
Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Hakim Syarie Selangor dan kemudian Hakim Mahkamah Rayuan JKSM di Putrajaya. Beliau pernah dilantik profesor adjung Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2012.

Jika tiga orang pendulunya mempunyai latar belakang syariah sahaja, anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini punyai latar belakang syariah dan undang-undang sivil. Mohd. Naim adalah graduan UIA dalam jurusan undang-undang (LL.B.) sebelum memulakan kerjayanya sebagai tenaga pengajar di universiti tersebut dari 1990 hingga 1997.
Selepas itu beliau meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana (LL.M.) di Universiti London, sebelum akhirnya di peringkat kedoktoran di UKM, Bangi.
Beliau fasih dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris, dan mampu berinteraksi dengan semua pihak di persada dunia. Ketokohan beliau dalam bidang kehakiman Islam turut diiktiraf oleh dunia luar.
Beliau pernah dilantik sebagai Chevening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom (bagi 2008/2009), dan Felo Pelawat di Harvard Law School (Mei 2012 hingga Februari 2013). Selain itu, beliau pernah diundang beberapa kali oleh kerajaan Arab Saudi.
Jumaat lalu saya menghubungi Mohd. Naim bertanyakan visinya bagi JKSM di masa depan. Pada hari itu beliau berada di Papua New Guinea untuk membentangkan satu kertas kerja dalam Persidangan Mediasi dan Timbangtara Antarabangsa atas undangan kerajaan tersebut.
Katanya, dia mahu bangunkan sumber manusia JKSM yang cemerlang dan mempunyai minda yang dinamik.
Cantik mana sekalipun usaha reformasi yang hendak dilakukan, andainya mindset warga kerja JKSM masih di takuk lama, satu perubahan yang signifikan sukar dilakukan, tegasnya.
Bila saya tanya lagi apakah cabaran besar yang akan dihadapinya nanti, beliau menjawab “persepsi negatif masyarakat terhadap mahkamah syariah”.
Baginya, JKSM tidak boleh lagi bertindak in silo (bersendirian), sebaliknya mesti membina kerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuklah media.
Saya setuju bahawa isu persepsi negatif rakyat perlu ditangani segera. Pada awal Mei 2018 lalu portal berita Malaysiakini melaporkan ada beberapa hakim syarie terlibat dalam usaha seorang menteri mempertahankan kerusinya di suatu lokasi di Kedah.
Insiden tersebut telah dipersoal oleh peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar, yang menyifatkan perbuatan hakim-hakim itu bercanggah dengan Kod Etika Hakim Syarie. (Lihat portal Malaysiakini 5 Mei 2018 di bawah tajuk Hakim Syarie kempen untuk menteri UMNO?)
Walaupun hakim-hakim berkenaan mungkin tidak ada niat untuk menyokong menteri berkenaan, bagaimana dengan persepsi rakyat jelata?
Mohd. Naim ada hampir satu dekad mentadbir JKSM mulai sekarang. Semoga segala usahanya direstui Allah dan dipermudahkan.
DATUK SALLEH BUANG ialah dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











