Sembunyi dalam kabinet namun gagal - Utusan Malaysia

Sembunyi dalam kabinet namun gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 3 April – Jabatan Imigresen Perak menyerbu kelab malam sekitar Station 18 dan di Jalan Mustapha Al Bakri di sini semalam dalam satu Ops Bersepadu selepas disyaki menawarkan perkhidmatan seks.


Bertindak hasil risikan serta maklumat orang awam, operasi selama tiga jam bermula pukul 9 malam itu disertai 18 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak serta 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sewaktu serbuan dibuat, wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan sedang asyik melayan pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…



Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada antara mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi di kabinet simpanan minuman keras dan bilik air.


Kelab malam tersebut yang beroperasi bermula pukul 8 malam sehingga awal pagi, menawarkan khidmat seks pada bayaran antara RM150 hingga RM250 untuk sejam.


Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 64 individu telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara.


“Daripada jumlah tersebut, seramai 31 orang telah ditahan melibatkan 30 wanita warga Vietnam serta seorang majikan warga tempatan.


“Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 47 tahun. Semasa operasi dilakukan, kita menemukan kondom bersepah di dalam bilik serta bakul sampah di kelab malam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Selain itu katanya, kesalahan juga didapati dilakukan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah serta memiliki perakuan palsu dalam pasport mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.


“Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(d) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Langkap,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini