KUALA LUMPUR 3 April – Kerajaan didesak menarik semula tindakan menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu demi menjaga Institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan negara.
Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kegagalan kerajaan untuk patuh kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara amat mendukacitakan dan biadap. “Dibimbangi dengan ratifikasi ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu boleh dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan tidak ada lagi kekebalan mahupun keistimewaan seperti yang termaktub dalam Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Beliau mewakili sekumpulan pengamal undang-undang menyokong kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam media sosial mengenai Majlis Raja-Raja tidak dirujuk bagi meratifikasi Statut Rom. Menurutnya, Tunku Ismail dalam ciapan di Twitter semalam mendakwa kerajaan cuba melemahkan Majlis Raja-raja Melayu dengan tidak merujuk kepada mereka selain mendakwa langkah kerajaan untuk menyertai Statut Rom akan menjadikan Raja-raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan kepada kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Sementara itu, peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin memberitahu, pihaknya turut mempersoalkan sama ada kerajaan menyantuni peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh memberi kesan kepada keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. Jelasnya, lebih janggal apabila persetujuan meratifikasi Statut Rom tidak dimaklumkan kepada umum atau dibentangkan di Parlimen dan Majlis Raja-Raja. “Tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom secara terburu-buru merupakan satu tindakan biadap serta tidak menghormati institusi raja berperlembagaan serta sistem demokrasi di negara ini.
“Pihak kami akan mengumpul 100 sokongan pengamal undang-undang di negara ini bagi menghantar memorandum ke Majlis Raja-Raja melalui Tunku Ismail dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











