KUALA LUMPUR 3 April – Sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini agak menyedihkan apabila tiada ahli Kabinet berjawatan menteri hadir untuk memberikan jawapan secara lisan.
Kesemua kementerian mewakilkan timbalan masing-masing.
Perkara itu ditimbulkan oleh Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) sewaktu gilirannya bertanyakan soalan nombor lapan dalam sesi tersebut.
“Izinkan saya hendak rakamkan rasa terkilan saya sebagai Ahli Parlimen kerana hari ini saya lihat Parlimen mencipta sejarah hitam di mana tiada seorang menteri pun hadir untuk menjawab soalan lisan kecuali Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).
“Namun Menteri Belia pun tiada soalan hari ini, tetapi beliau datang. Ini maruah Parlimen, menteri-menteri harus hormat,” ujar beliau.
Berdasarkan siaran televisyen, beberapa timbalan menteri yang hadir nampak menundukkan muka ketika Noh berkata tentang hal tersebut.
Namun penyokong kerajaan cuba mempertahankan apa yang berlaku dengan memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah hadir untuk menjawab soalan pertama.
Namun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dianggap menteri kanan hadir dan itu pun untuk menyertai sesi menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2018.
Menteri yang turut terlibat dalam perbahasan peringkat jawatankuasa itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.-UTUSAN ONLINE











