KUALA LUMPUR 3 April – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal memenuhi harapan peminat sukan badminton tanah air selepas terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini sebentar tadi.
Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu menyaksikan Zii Jia tewas 17-21, 21-19, 15-21 kepada pemain bukan pilihan dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon.
Pemain berusia 21 tahun itu memberitahu, sikap terlalu yakin memakan dirinya sendiri selain berdepan masalah dengan aksi konsisten yang ditampilkan Suppanyu terutama permainan di jaring.
“Kepada peminat badminton Malaysia, saya mohon maaf kepada semua kerana gagal meraih kemenangan dalam perlawanan ini dan saya berjanji akan bangkit dengan permainan lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Sementara itu, pasangan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak berdepan masalah ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-19.- UTUSAN ONLINE











