KUALA LUMPUR 3 April – Sebuah organisasi penyelidikan kanser di negara ini, Cancer Research Malaysia (CRM) melancarkan video ‘Reverse The Views To Reverse Cancer’ bersempena sambutan kempen ‘Reverse Cancer Day 2019’, di sini semalam.
CRM dalam kenyataan hari ini berkata, antara misi kempen kali kedua itu adalah untuk menyokong penyelidikan di rantau Asia yang memfokuskan usaha pencegahan, pengesanan dan rawatan kanser yang berkesan, sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan pesakit kanser.
Katanya, Kempen Reverse Cancer Day yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Seri Dr. Aishah Ong itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya terus menyokong penyelidikan perubatan penyakit berkenaan.
“Statistik telah menunjukkan bahawa bermula empat dekad yang lalu, seorang daripada setiap empat pesakit kanser terselamat.
“Seiring dengan kemajuan teknologi, setiap dua daripada empat orang yang didiagnosis dengan kanser masih hidup sehingga hari ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, walaupun Asia mewakili hampir separuh daripada populasi dunia, penduduknya hanya menyumbang 10 peratus daripada penyelidikan yang dilakukan.
“Sesetengah kanser yang biasa didapati di Asia tidak dikaji sepenuhnya. Begitu juga dengan genetik yang berbeza dalam kalangan penduduk Asia yang mungkin menyebabkan tindak balas berbeza terhadap rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, CRM berusaha mengubah keadaan itu dengan menjalankan penyelidikan untuk mencari langkah-langkah bagi meningkatkan tahap kelangsungan kanser dalam kalangan penduduk Asia.
“Fokus kempen Reverse Cancer Day tahun ini disampaikan melalui video pendek yang menampilkan beberapa orang personaliti terdiri daripada penghidap dan bekas pengidap kanser, penjaga pesakit dan personaliti sosial media berpengaruh seperti Cody dan May Hong.
“Kedua-duanya berkongsi pengalaman peribadi dan gesaan mereka agar lebih banyak penyelidikan dijalankan terhadap penyakit kanser dalam kalangan penduduk Asia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











