KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian menerusi Op Jol di sebuah premis di Jalan Petaling, di sini semalam.
Difahamkan, operasi yang bermula pukul 6.35 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, kesemua 12 individu yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 28 hingga 51 tahun.
“Kita turut merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya komputer riba (5), tablet (6) dan wang tunai berjumlah RM850,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Menurut Rudy, siasatan awal mendapati premis rumah kedai yang menjadi pusat judi atas talian itu baru beroperasi sejak dua hari lalu dan dilengkapi dengan kamera litar tertutup serta pintu kebal untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Tambahnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta 6 (1) akta yang sama. – UTUSAN ONLINE











