AirAsia terima ATR tertinggi - Utusan Malaysia

AirAsia terima ATR tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 April – AirAsia Group Berhad (AirAsia) menerima 26 Hak Trafik Udara (ATR) tertinggi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, jumlah yang diterima syarikat penerbangan tambah rendah itu adalah yang tertinggi diikuti oleh Malindo Air dengan 15 ATR.

Kata beliau, daripada 53 permohonan ATR yang diterima, sebanyak 32.1 peratus adalah untuk laluan domestik manakala bakinya untuk laluan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mavcom telah meluluskan 100 peratus permohonan ATR oleh syarikat-syarikat penerbangan tempatan sepanjang 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini. Kami memperuntukkan 53 ATR dengan 52 permohonan telah diluluskan sepenuhnya sementara satu lagi mendapat kelulusan separa.

“Kelulusan itu melibatkan 17 laluan domestik, 13 laluan ke destinasi di ASEAN, 11 laluan ke China, dua laluan ke India, lima laluan ke Australasia dan lima laluan ke destinasi Asia yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nungsari, sebanyak 26 ATR antarabangsa diberi bagi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (tiga ATR), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (satu ATR), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (satu ATR) dan lain-lain lapangan terbang di Malaysia menerima lima ATR.

Mengenai pemulangan ATR yang tidak digunakan, Nungsari berkata, AirAsia mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 13 dan lima daripada Malindo Air.

Menurutnya, Mavcom pada 2018 telah meluluskan 205 ATR yang mana AirAsia menerima 98 ATR dan Malindo Air dengan 52 ATR.

“Proses memperuntukkan ATR memerlukan suruhanjaya melakukan analisis menyeluruh dan mengambil kira pelbagai aspek untuk memudahkan pertumbuhan industri yang teratur, aspek persaingan dan pilihan pengguna untuk jangka masa panjang serta pencegahan kesulitan kepada pengguna penerbangan,” katanya.

Mengikut perjanjian perkhidmatan udara, syarikat penerbangan Malaysia dikehendaki memiliki ATR bagi mengendalikan penerbangan berjadual yang mana sekurang-kurangnya salah satu lokasinya di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini