KUALA LUMPUR 4 April – Lynas Corporation Ltd. (Lynas) kecewa terhadap pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh pelbagai pihak mengenai operasi kilang itu di Gebeng Kuantan Pahang.
Malah, menurut Lynas, sebelum ini pihaknya telah memanggil jawatankuasa kecil politik bagi berbincang mengenai operasi kilang berkenaan termasuk Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Semua ahli jawatankuasa itu hadir kecuali satu pihak yang tidak diketahui sama ada enggan terlibat atau tidak menjawab kepada jemputan kami.
“Perkara ini amat mengecewakan kerana pelbagai tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar sedangkan kami berhasrat ingin memastikan semua ahli menerima fakta yang benar,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Lynas juga bersedia untuk mematuhi beberapa cadangan Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) termasuk membina Water Leach Purification (WLP).
“JKPPL telah melawat Lynas dan mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak pentadbiran, pakar-pakar saintifik, ahli komuniti dan kumpulan yang dicadangkan Lynas. Hasil kajian jawatankuasa itu mendapati operasi Lynas adalah berisiko rendah, mematuhi kepada peraturan yang berpatutan serta kemudahan penyimpanan residu berada dalam keadaan baik.
“Dapatan kajian itu juga selaras dengan beberapa pandangan saintifik luar termasuk Agensi Tenaga Atomik Antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











