Dadah RM20 juta disembunyi dalam gulungan kain - Utusan Malaysia

Dadah RM20 juta disembunyi dalam gulungan kain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 3 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 338 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM20 juta dalam dua serbuan berasingan pada 25 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abdul Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis perniagaan di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada pukul 4.30 petang.

“Dalam serbuan itu, dua lelaki warga Pakistan ditahan bersama 70 kotak mengandungi gulungan kain. Pemeriksaan menemukan 304 bungkusan plastik disyaki berisi dadah seberat 229 kg disorok dalam gulungan kain itu,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Kastam di Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Azimah berkata, selepas siasatan dilakukan terhadap suspek utama, anggota JKDM dan PDRM menyerbu sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor pada hari yang sama.

Menurutnya, sebanyak 146 plastik disyaki mengandungi dadah seberat 109 kg didapati disorokkan dalam gulungan kain yang dimuatkan dalam 27 kotak di gudang itu.

“Dua lagi lelaki warga tempatan, dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan disyaki ahli rangkaian sindiket itu telah ditahan dalam serbuan itu,” katanya.

Ujarnya, kesemua tujuh individu berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan reman selama 14 hari bermula 25 Mac lalu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini