KUALA LUMPUR 3 April – Anak syarikat tidak langsung Genting Berhad, Resorts World Las Vegas LLC (RWLV) dan RWLV Capital Inc. menetapkan harga bagi nota senior AS$1 bilion (RM4.08 bilion) pada kadar agregat prinsipal 4.625 peratus yang akan matang pada 2029.
Genting dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, penerbitan nota itu bagi membiayai sebahagian daripada pembangunan kasino dan hotel bersepadu, Resorts World Las Vegas di Nevada, Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, nota-nota dengan tempoh 10 tahun itu telah ditawarkan dan dijual di dalam AS sahaja kepada pembeli institusi yang layak termasuk kepada individu tertentu yang bukan rakyat AS melalui transaksi luar AS bergantung kepada pengecualian syarat pendaftaran dan peraturan Akta Sekuriti AS 1933.
“Nota-nota tersebut dijangka disenaraikan di Bursa Singapura,” katanya di sini hari ini.
Tambah syarikat itu, S&P Global Ratings memberikan penarafan terbitan awal BBB+ kepada nota-nota berkenaan manakala Fitch Ratings Ltd. memberikan penarafan yang dijangka pada A-(EXP).
Katanya, serentak dengan penerbitan nota-nota itu RWLV akan memeterai perjanjian kemudahan kredit bercagar kanan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.53 bilion) merangkumi kemudahan pinjaman berjangka berjumlah AS$400 juta (RM1.63 bilion) dan satu kemudahan kredit pusingan sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion).
“Nota-nota ini belum didaftarkan di bawah akta sekuriti atau mana-mana negeri atau mana-mana bidang kuasa sekuriti yang lain.
“Oleh itu, nota-nota tersebut tidak boleh ditawarkan atau dijual tanpa pendaftaran di AS atau pengecualian terpakai daripada syarat-syarat pendaftaran di bawah Akta Sekuriti dan mana-mana negeri yang berkenaan atau lain-lain bidang kuasa membabitkan perundangan sekuriti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











