Malam Wartawan Malaysia terima sumbangan lebih RM400,000 - Utusan Malaysia

Malam Wartawan Malaysia terima sumbangan lebih RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 April – Sebanyak 31 organisasi korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan media menghulurkan sumbangan bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019 untuk merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2018 (HKM 2018).

Pengerusi MWM 2019 Datuk Chamil Wariya berkata jumlah keseluruhan yang disumbangkan adalah RM411,000.

“Jumlah ini meningkat berbanding RM398,000 pada tahun lalu dan sekali gus menunjukkan komitmen penyumbang dalam mengiktiraf karya yang dihasilkan wartawan negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Kewartawanan Malaysia (MWM) 2019 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Chamil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) berkata, Petronas sekali lagi meneruskan tradisi menyokong anugerah itu dengan menyumbang RM300,000.

Di samping Petronas, antara penyumbang utama MWM adalah Tenaga Nasional Berhad, Celcom Axiata Berhad, DRB Hicom Berhad, EXIM Bank (M) Berhad dan Sarawak Energy Berhad.

Mengulas mengenai penyertaan tahun ini, Chamil menjelaskan MPI menerima 267 penyertaan bagi 20 kategori yang dipertandingkan.

“Penyertaan tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu 349 penyertaan.

“Kita rasa, ia mungkin disebabkan yuran penyertaan yang dikenakan namun itu adalah antara cara kita menjamin karya-karya yang dihantar benar-benar berkualiti,” katanya.

Tambahnya, penilaian karya kini memasuki pusingan kedua dan senarai lima calon teratas akan dipilih sebagai pemenang.

“Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang mencatat penyertaan tertinggi iaitu 42 penyertaan diikuti 25 penyertaan masing-masing bagi kategori Foto Esei Cemerlang dan Berita Video Terbaik,” katanya.

Anugerah yang dijadualkan berlangsung pada 26 April di Hotel Berjaya Times Square di sini akan turut menyaksikan pemenang anugerah tertinggi iaitu Hadiah Kajai membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pemenang utama setiap kategori kecuali Tokoh Wartawan Negara dan Tokoh Media akan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini