ISKANDAR PUTERI 3 April – Syarikat Iskandar Innovations Sdn. Bhd. (IISB) dan KT Corporation dari Korea Selatan akan bekerjasama membina Pusat Kecemerlangan Realiti Maya (VR), kemudahan digital bertaraf antarabangsa di bandar raya ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, pusat itu dijadualkan siap dibina pada suku ketiga tahun ini sekali gus bakal manjadi tarikan baharu di bandar raya ini.
Menurutnya, kolaborasi dengan KT Corporation itu akan mencetuskan satu ekosistem baharu di bandar raya ini yang berlandaskan kepada teknologi digital.
“Ini akan mencakupi alam virtual, augmented dan mixed reality. Kita juga telah menggariskan lima komponen penting untuk diterokai iaitu taman tema VR, pendidikan, E-sports, penyelidikan dan pembangunan dan juga ekonomi setempat.
“Ini untuk membantu mencapai sasaran kami menempatkan bandaraya Iskandar Puteri sebagai satu hab digital yang unggul,” katanya ketika berucap dalam majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Antara Iskandar Innovations Sdn. Bhd. dan KT Corporation di Puteri Harbour di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse dan Timbalan Presiden KT Global Business merangkap Ketua Pelaburan Strategik Global syarikat KT Corporation, Kwon Oryung.
Sementara itu, Kwon Oryung pula teruja dengan kerjasama berkenaan yang berteraskan bidang Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
“IIB sememangnya adalah satu daripada syarikat-syarikat yang terkemuka di Malaysia dan mempunyai wawasan cukup tinggi. Kami bersedia memberikan tumpuan dan tenaga pakar yang terbaik untuk melengkapkan projek pemangkin ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wee Tse berkata, kerajaan negeri sangat-sangat mengalukan kedatangan pelabur-pelabur antarabangsa ke Johor dan amat komited untuk membantu serta bekerjasama dengan semua pelabur dari dalam atau luar negara.
“Dengan infrastruktur moden, jaringan pengangkutan cekap serta efektif, sumber asli dan tenaga kerja yang baik, ditambah dengan sokongan padu pihak kerajaan negeri, saya harap agar agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dapat bergabung dan mempromosikan
Iskandar Malaysia untuk menarik lebih banyak pelabur ke negeri kita,” ujarnya.
IISB adalah sebuah anak syarikat IIB yang ditubuhkan untuk menerajui pembangunan teknologi digital di kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia terutama di bandar raya ini.
Kerjasama dengan KT Corporation itu dilihat akan mempercepatkan pembangunan industri AR dan VR di Medini, sebuah kawasan perbandaran yang telah dimajukan sebagai Pusat Perdagangan
wilayah pembangunan Iskandar Malaysia. – UTUSAN ONLINE











