11 jemaah Malaysia terpilih jadi tetamu Arab Saudi tunai umrah - Utusan Malaysia

11 jemaah Malaysia terpilih jadi tetamu Arab Saudi tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 3 April -Seramai 11 rakyat Malaysia antara 225 jemaah bertuah dari pelbagai negara yang terpilih menyertai program tetamu Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bagi menunaikan ibadah umrah.

Program yang diperkenal sejak 2015 itu disertai jemaah dari 27 negara termasuk Indonesia, Filipina, India, Bangladesh, China, Pakistan, Thailand, Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Croatia, Slovenia, Macedonia, Serbia, Albania, Montenegro, Korea Selatan, Hong Kong, Mauritania, Algeria, Mesir, Tunisia, Maghribi, Sudan, Maldives, Jordan dan Lubnan.

Ziarah 10 hari itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya lawatan ke beberapa tempat bersejarah di Mekah dan Madinah, perjumpaan bersama imam Masjid Nabawi serta majlis ilmu bersama para ulama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kumpulan jemaah Malaysia akan berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala jemaah lain berlepas dari negara masing-masing hari ini dan akan berada di Mekah sehingga 13 April depan.

Pegawai Penyelidik Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Ahmad Fazrin Yahaya berkata, antara tujuan program itu ialah mengumpul para jemaah dari seluruh dunia selain saling bertukar pandangan tentang Islam dan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Beliau berkata, semua tetamu ditaja sepenuhnya melalui peruntukan peribadi Raja Salman yang membabitkan kos penginapan, tiket kapal terbang, makan minum serta program ziarah ke tempat bersejarah.

“Mereka yang terpilih terdiri daripada kalangan agamawan, wakil kerajaan, ahli akademik, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sudah pasti program ini menyasarkan satu matlamat yang besar bagi memenuhi wawasan 2030 (yang diilhamkan Putera Mahkota Arab Saudi itu). Dijangka lebih ramai peserta akan dijemput menyertai program ini (pada masa akan datang),” katanya

kepada Bernama selepas memberi taklimat kepada para peserta di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Dr. Abdul Latif Abdulaziz Al Al-Sheikh dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi memastikan keselesaan para jemaah.

Beliau berkata, beberapa agensi kerajaan turut terlibat dalam menguruskan semua tetamu yang dijangka tiba di Madinah hari ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini