KUALA LUMPUR 3 April – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melebarkan kolam takungan hujan dan melaksanakan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat di sekitar kawasan pentadbirannya, semalam.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menjalankan kerja-kerja pembesaran kolam takungan hujan di beberapa kawasan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang terutama pada musim hujan.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan terutama kolam di Sri Serdang yang perlu dilebarkan untuk menampung kapasiti air supaya tidak melimpah ke kawasan sekitar,” katanya.
Noraini berkata, hujan lebat selama lebih dua jam itu menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat selain kesesakan teruk terutama di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya).
“Selain jalan dan lebuhraya, kawasan perumahan di sekitar Serdang, Sri Serdang, Seri Kembangan dan Subang Jaya turut ditenggalami air.
“Kita difahamkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 2 turut terjejas apabila tingkat bawah bangunan dimasuki air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berucap pada Program Rejuvenasi Bandar Puteri 1 dan 2, Puchong dekat sini hari ini.
Tambahnya, seramai 20 kakitangan melalui Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPSJ dihantar untuk memberi bantuan segera dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di sekolah berkenaan dan di Taman Serdang Jaya dekat sini yang terjejas akibat banjir tersebut.
“Kami juga menunggu laporan daripada ahli-ahli MPSJ untuk mengenal pasti beberapa lagi kawasan yang terjejas dan bantuan segera akan diberikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











