KLANG – Biarpun pernah diserbu pihak berkuasa Jun tahun lalu namun empat premis yang menjual beg tangan wanita didapati terus berdegil dengan menjalankan kegiatan sama di sekitar Bukit Tinggi di sini semalam.
Perkara itu terbongkar selepas premis tersebut diserbu sepasukan anggota dan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Penguatkuasa negeri, Azizan Abdullah berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya selama tiga minggu lalu terhadap penjualan barangan jenama Longchamp dan Hermes.
Katanya, kesemua beg berkenaan diperolehi dari negara China dan untuk pasaran tempatan.
“Hasil serbuan, kita merampas lokasi terbabit kita berjaya merampas 1,334 unit beg tangan yang dianggarkan bernilai RM 38,063.
“Siasatan turut mendapati premis yang telah beroperasi hampir empat tahun itu pernah diserbu sekitar pertengahan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Beliau menegaskan, beg-beg tersebut dijual pada harga sekitar RM30 hingga RM50 bagi kedua-dua jenama itu.
Ujarnya, ini jelas berbeza pada harga asli untuk jenama Longchamp yang berharga RM200 hingga RM800, manakala bagi jenama Hermes boleh mencecah di antara RM8,000 hingga RM10,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi individu pula denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu,” katanya. – K! ONLINE











