Pusat sembelihan ayam tiada sijil halal diserbu - Utusan Malaysia

Pusat sembelihan ayam tiada sijil halal diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Bukan sahaja cara sembelihan ayam diragukan serta tidak mematuhi hukum syarak, malah tukang sembelihan adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Jalan Haji Sirat, Kapar, di sini selepas diserbu Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pukul 1 pagi tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, serbuan itu turut disertai anggota dan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Imigresen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan pengoperasian pusat penyembelihan yang diragui status sembelihannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati pusat penyembelihan ini dioperasikan oleh pekerja warga asing serta tidak mempunyai lesen perniagaan termasuk tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Soal-siasat juga mendapati cara penyembelihan yang dilakukan adalah meragukan selain tidak mematuhi syarak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kosmo! Online difahamkan sebaik leher ayam dipotong terus dicampakkan ke dalam tangki air bagi mempercepatkan proses mematikan ayam serta mengelak ayam mengalami lebam dan cedera.

Haris berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut juga bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

“Arahan melupuskan ayam-ayam yang diragui status sembelihannya telah dikeluarkan kepada pemilik premis serta-merta.

“MPK juga turut menyita premis itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) MPK,” katanya.

Jelas beliau, enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di premis tersebut turut ditahan Jabatan Imigresen mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai premis yang diragui melakukan penyembelihan secara halal diminta melaporkan kepada JAIS di talian 03-5514 3760/3486. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini