SERDANG 3 April – Perasaan tidak puas hati di tempat kerja menjadi punca seorang buruh binaan warga Bangladesh membunuh rakan serumahnya sebelum mayatnya dibuang di tepi sebuah kedai di Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini kelmarin.
Lebih mengejutkan, suspek berusia lingkungan 30-an itu membuang mayat rakannya dengan menggunakan perkhidmatan kereta e-hailing Grab.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek ditahan pada pukul 2 pagi semalam bersama seorang lagi rakannya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek utama mengaku membunuh rakannya dengan memukul kepala mangsa menggunakan objek tumpul semasa mangsa sedang tidur di rumah sewa mereka di Taman Lestari Perdana, di sini pada Sabtu lalu.
“Suspek kemudian membungkus mayat mangsa dan menghubungi pemandu Grab yang dikenalinya untuk membuang mayat mangsa di lokasi pembuangan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kediamannya pada malam hari kejadian.
“Siasatan mendapati pemandu Grab tersebut dimaklumkan oleh suspek bahawa dia mahu membuang barangan rumah yang tidak digunakan lagi dan tidak mengetahui bungkusan tersebut mengandungi mayat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.
Ismadi memaklumkan, pihaknya berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam laporan dibuat.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan satu mayat orang dewasa ditemui dalam plastik hitam yang dibuang di tepi sebuah kedai dekat Bandar Kinrara, Puchong, di sini.
Ketika ditemui mayat itu berada dalam keadaan berbungkus dengan plastik jernih dan kain selimut sebelum dimasukkan ke dalam plastik hitam dan ditinggalkan di lokasi berkenaan.- UTUSAN ONLINE











