KAJANG – Pihak polis pagi tadi telah menahan seorang Tan Sri bersama isterinya yang didakwa mendera tiga pembantu rumah warga Indonesia sehingga mereka nekad melarikan diri pada bulan lalu.
Tangkapan tersebut dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, tindakan tersebut dijalankan susulan daripada laporan yang dibuat oleh pihak kedutaan Indonesia pada bulan lalu.
“Pasangan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Kajang pagi tadi untuk mendapatkan permohonan reman.
“Reman telah dibenarkan selama sehari iaitu sehingga pukul 5 petang hari ini oleh Majistret Mahkamah Kajang, Nor Afidah Idris,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan S. Vekram di talian 019-4737 108.
Kosmo! Online pada Sabtu lalu melaporkan tiga amah berusia 25 hingga 41 tahun melarikan diri dari banglo majikan mereka setelah tidak tahan menerima layanan kasar selain tidak dibayar gaji.
Mereka telah dibawa ke Kedutaan Indonesia dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur. Kesemua amah tersebut kini ditempatkan di rumah perlindungan. – K! ONLINE











