KUALA LUMPUR 3 April – Sesi sidang Dewan Rakyat pagi ini mencadangkan satu filem diterbitkan untuk memaparkan pelbagai tingkah laku ahli-ahli Parlimen sepanjang persidangan.
Cadangan yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) itu malah mencadangkan watak ‘hero’ dipegang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman (PH-Muar).
Antara beberapa nama lagi yang beliau merasakan mempunyai bakat ialah RSN Rayer (PH-Jelutong), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani), Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan beliau sendiri.
“Saya juga mencadangkan kita ini dalam Dewan ini ramai pelakon-pelakon yang hebat. Hang Tuah Jaya hebat, Jelutong hebat, Kapar pun hebat, Sungai Petani hebat, Kuala Krau hebat.
“Saya cadangkan satu filem yang heronya Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan (sebagai) heronya dan ikonnya, diterbitkan untuk gelagat-gelagat yang terjadi dalam Persidangan Dewan Rakyat, jangan lupa Yang Dipertua Dewan Rakyat (Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof) pelakon utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertanya soalan tambahan mengenai rancangan di dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith semasa sesi soal jawab.
Sejak bermulanya Persidangan Parlimen Ke-14 pada tahun lalu, sesi Dewan Rakyat tidak kering dengan pelbagai isu dan gelagat ahli-ahli Parlimen terutama setelah negara menyaksikan pertukaran parti pemerintah.
Sepanjang sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini sahaja, beberapa gelaran diberikan sesama ahli-ahli Parlimen seperti bodoh dan taliban sehinggakan label pondan turut ditujukan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. – UTUSAN ONLINE











