BAHRAIN – Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengakui kegagalannya untuk menaiki podium pada Grand Prix (GP) Bahrain bukan disebabkan tekanan sebaliknya kesilapan sendiri apabila gagal mengemudi jentera dengan baik pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Bahrain kelmarin.
Kegagalan tersebut menyebabkan jentera Vettel berpusing dan terbabas sewaktu Lewis Hamilton memintasnya sekali gus membuka peluang kepada pelumba Mercedes itu mengejar rakan sepasukannya, Charles Leclerc dengan berbaki 11 pusingan sebelum tamat saingan.
Hamilton pula mengambil peluang susulan masalah dialami jentera pasukan Ferrari yang kehilangan unit kuasa sekali gus memenangi perlumbaan GP Bahrain manakala rakan sepasukannya, Valtteri Bottas di kedudukan kedua selepas turut berjaya memintas Leclrec.
“Saya memohon maaf kerana telah melakukan kesilapan. Saya kehilangan cengkaman pada tayar belakang dan bukannya disebabkan tekanan.
“Ketika saya berjuang dengan Hamilton, misi utama saya adalah kekal di depan, bagaimanapun saya terkejut kerana tayar belakang jentera hilang cengkaman sebelum jentera berpusing. Saya cuba untuk mengelak insiden tersebut tetapi sudah terlambat.
“Bagi saya ia adalah kesilapan saya sendiri dan sekiranya saya tidak terbabas mungkin kami mampu meraih penamat lebih baik. Secara keseluruhan, ia adalah perlumbaan yang sukar.
“Dari sudut pandangan pasukan, ia merupakan peningkatan terbaik sepanjang minggu ini. Banyak kerja rumah yang perlu disiapkan dan kami akan bekerja keras menjelang perlumbaan seterusnya,” kata Vettel. – Agensi











