MADRID 2 April – Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata, hari ini, kelab berharap dapat memulakan kerja-kerja mengubah suai Santiago Bernabeu sebaik musim ini berakhir.
Reka bentuk baharu stadium di Madrid itu akan menelan perbelanjaan sekitar 500 juta euro (RM2.28 billion) dan ubah suai tersebut turut melibatkan bahagian bumbung serta padang.
“Pelan telahpun diluluskan. Sebab itu saya mahu anda mengetahuinya minggu depan, kami akan menandatangani kontrak terakhir dan sepanjang April kami akan mula mengagihkan peruntukan dengan sasaran untuk memulakan projek ini sebaik musim berakhir,” kata Perez kepada pemberita, hari ini.
Perlawanan terakhir Real di laman sendiri ialah menentang Real Betis pada 19 Mei ini.
Kapasiti di Santiago Bernabeu iaitu 81,000 tempat duduk tidak akan ditambah, tetapi perubahan yang dilakukan ialah membabitkan kemudahan teknologi.
Selain melakukan ubah suai di bahagian bumbung, keselamatan stadium juga dipertingkatkan, dengan kemudahan membeli-belah, tempat makan, muzium kelab dan kawasan persekitaran stadium dinaik taraf.
“Kami mahu menjadikan stadium ini sebagai ikonik pada masa depan. Kami akan menggunakan peruntukan daripada hasil yang kami peroleh untuk membina stadium baharu. Kami mahu Real Madrid menjadi lebih kompetitif yang mana ia akan menjadi landskap baharu dalam bola sepak dunia,” jelas Perez. – AFP











