Urus sisa toksik lebih baik - Utusan Malaysia

Urus sisa toksik lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
PEMBENTUKAN Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Sisa-sisa Toksik dan Pembuangan Terjadual adalah tepat pada masanya dan perlu disokong semua pihak kerana ia dapat membantu menangani isu pembuangan sisa berbahaya di negara ini.

Dilaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menyiapkan draf akhir bagi penubuhan jawatankuasa itu ekoran kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim sebelum dihantar ke Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk kelulusan.

Saya percaya jawatankuasa itu platform tertinggi untuk membuat keputusan bagaimana mengurus sisa toksik dengan lebih baik supaya insiden Sungai Kim Kim tidak berulang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain daripada JAS dan agensi lain berkaitan, jawatankuasa itu perlu libatkan pakar dari institusi pengajian tinggi dan sektor swasta.

Mereka perlu mengkaji bagaimana sisa-sisa toksik dan terjadual diuruskan di negara-negara maju supaya tidak membahayakan orang ramai dan alam sekitar.

Mereka juga perlu mencari jalan untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut undang-undang sedia ada terutamanya Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Walaupun undang-undang sedia ada mengawal selia 77 jenis sisa berbahaya, pembuangan secara haram masih berleluasa kerana kekurangan penguatkuasaan manakala mereka yang terlibat pula cenderung mengelak daripada menanggung kos pelupusan dan pembayaran levi.

Insiden di Sungai Kim Kim hanyalah sebahagian kecil kes kerana terdapat banyak sungai dan jasad air lain di seluruh negara yang mungkin tercemar oleh bahan kimia toksik yang dibuang sewenang-wenangnya tanpa dikesan kerana pemantauan tidak dapat dijalankan 24 jam sehari.

Selain daripada pembuangan haram, sisa toksik juga boleh berpunca dari tempat pembuangan dan tapak pelupusan sampah.

Kebanyakan tapak pelupusan dan pembuangan sampah tidak direka dengan betul di mana gas dan air resapan sampah (leachate) perlu dikumpul dan dirawat dengan betul sebelum dilepaskan ke alam sekitar.

Ini merupakan punca udara berhampiran tercemar dan berbau busuk sekali gus mencemari tanah dengan bahan berbahaya.

Lebih memburukkan keadaan, tempat pembuangan sampah haram semakin meningkat bagi menampung permintaan syarikat tempatan dan asing serta pengimport bahan buangan.

Saya berharap jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu akan turut mencadangkan pindaan undang-undang sedia ada agar mereka yang membuang bahan kimia dipaksa membayar kos pemulihan alam sekitar dan rawatan mangsa yang menderita akibat perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi NIOSH

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini