Enggan lagi jaja cerita peribadi - Utusan Malaysia

Enggan lagi jaja cerita peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA pelakon Tasha Shilla satu masa dahulu tidak lekang dengan kontoversi. Ada sahaja cerita panas yang melibatkan wanita berusia 32 tahun ini.

Selepas satu isu, muncul pula kisah lain yang dikaitkan dengannya.

Namun itu dulu! Realitinya kini dia tidak lagi mahu mengimbas kembali episod yang pernah memalukan diri seiring dengan kematangan usia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarkan hal lalu berlalu pergi dan terus lenyap dari minda. Tasha hanya mahu memandang ke hadapan dan tidak lagi dibayangi kontroversi murahan.

“Alhamdullilah, kehidupan saya sekarang semakin tenang dan gembira. Fokus saya untuk tahun ini adalah untuk kerjaya dan perniagaan yang sedang dalam perangkaan.

“Apa yang saya lalui dulu adalah satu pengalaman. Pengalaman mematangkan seseorang, termasuk saya.

TASHA SHILLA

“Bila perkara-perkara itu (gosip panas) berlaku, secara tak langsung banyak mengajar saya erti ketabahan dan menyuntik semangat positif supaya terus bangkit ke hadapan,” ujarnya ketika ditemui pada Program Keusahawanan Penggiat Seni anjuran Media House Entertainment (MHE) pada Sabtu lalu.

Seiring dengan itu juga, pelakon filem KL Menjerit 1 ini mahu menutup rapat kisah cintanya dan enggan lagi menjaja cerita hal peribadi kepada khalayak.

Cukuplah dahulu dia terbuka menceritakan tentang siapakah kekasihnya yang tidak berakhir dengan penyudah yang membahagiakan buat pemilik nama penuh Natasha Sheila Abdul Razak ini.

“Saya tak mahu lagi kongsi hal peribadi termasuk dengan siapa saya berkawan ketika ini. Cukuplah saya dikecam teruk tentang kisah cinta yang tak menjadi satu ketika lalu.

“Jika ada rakan media yang bertanya, saya tetap dengan pendirian untuk tidak mahu lagi bercerita kerana bagi saya ia terlalu peribadi.

“Soal peribadi saya letak tepi dulu. Sekarang masa untuk fokus pada karier seni.

“Mungkin dulu saya terlalu membuka kisah peribadi tetapi kali ini ia tidak mungkin terjadi. Lagipun tiada apa yang hendak dikongsikan.

“Namun, saya akan berkongsi kepada satu dunia jika sudah tiba masanya untuk saya mendirikan ‘masjid’ dengan seseorang,” tuturnya berjanji.

Jangan malu mengaku kemurungan!

Siapa menyangka episod putus cinta empat tahun lalu rupa-rupanya memberi impak besar dalam hidup Tasha.

Keadaan emosinya yang tidak stabil menyebabkan dia didiagnosis kemurungan tahap sederhana ekoran peristiwa itu telah menyebabkan dunianya ‘gelap’ seketika.

Kecelaruan emosi yang tidak dapat diduga kadangkala menyebabkan dia pernah digelar gila disebabkan insiden tersebut.

TASHA SHILLA

“Ramai orang tak berfikiran terbuka cerita fasal kemurungan. Ia adalah masalah kesihatan yang perlu kita ambil berat.

“Ia boleh terjadi kalau kita stres, terlalu pendam perasaan dan masalah emosi tak seimbang. Saya seorang yang suka simpan perasaan, tanpa disangka sikap itu memakan diri hingga saya jadi murung.

“Tambah memberatkan keadaan bila saya putus cinta. Situasi ketika itu jadi lebih parah. Saya tak mampu kawal perasaan. Ada masanya saya boleh tiba-tiba menangis dan tak lama lepas itu boleh tersenyum macam biasa,” katanya.

Justeru, dia mengambil langkah pantas dengan berjumpa pakar motivasi untuk memulihkan semangatnya.

Jelas Tasha, dia tidak mengendahkan kata-kata negatif orang di luar sana kerana kini apa yang penting adalah dirinya.

“Saya sudah tak hirau orang cakap hal saya lagi. Antara saya dengan Tuhan itu lebih penting.

“Saya nak majukan diri sendiri bukannya untuk orang lain. Kata-kata manusia yang gemar bercakap belakang tentang saya, itu bukan kepentingan saya lagi.

“Sebenarnya bukan anda seorang sahaja yang alami depresi tetapi tanpa disedari ramai orang di luar sana pun ada masalah sama. Cuma kita kena keluar dan beranikan diri untuk keluar dari kepompong yang membelenggu hidup kita itu,” katanya yang akan terbang ke Pakistan awal bulan ini bagi membintangi sebuah drama terbaharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini