Park Bogum kini digelar ‘Ahmad Bogum’ - Utusan Malaysia

Park Bogum kini digelar ‘Ahmad Bogum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa hari lalu warganet heboh memperkatakan tentang kelunakan suara aktor popular Korea Selatan, Park Bogum yang menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu bertajuk Belaian Jiwa.

Lagu malar segar nyanyian kumpulan Carefree itu didedikasikan istimewa buat peminat sambil bermain piano.

Justeru, semua penonton yang berada dalam acara bertemu peminat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu terpukau sepanjang persembahannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sendiri yang memilih lagu ini kerana sukakan liriknya yang sangat bermakna. Jadi saya cuba sampaikan dalam versi saya, harap anda semua terhibur,” tuturnya sambil tersenyum usai menyanyi pada hari tersebut.

Rata-rata warganet kagum dan memuji nyanyian bintang drama Encounter itu sebab bukan saja suaranya yang membuai penonton, malah sebutan bahasanya juga dinilai baik.

Lantas warganet termasuk mereka yang bukan kalangan peminat muzik dan drama Korea mula ‘mencari’ video persembahannya dan maklumat mengenai siapakah gerangan pemuda berusia 25 tahun ini.

Impaknya, pada Ahad lalu nama Bogum tular sehingga dia diberikan gelaran nama baru iaitu Ahmad Bogum.

Sekali gus nama tersebut yang beserta tanda pagar #Ahmad Bogum menjadi sohor kini dalam laman sosial Twitter Malaysia.

Bahkan ada pihak yang menyunting laman informasi Wikipedia dengan nama Ahmad Park Bogum

Di negaranya, Bogum cukup terkenal dengan jolokan ‘menantu pilihan’ dan ‘teman lelaki nasional’ dek kerana keperibadian dan personalitinya yang baik, bersopan santun dan mempunyai imej yang bersih sebagai seorang artis.

Pada 2016 dia pernah mencetus fenomena ‘Bo-gum Magic’ ekoran impak lakonannya dalam drama Love In The Moonlight. Antara drama lain yang pernah dibintanginya seperti Hello Monster dan Reply 1988.

Pelakon yang tersenarai sebagai salah seorang bintang termahal Korea ini bakal muncul menerusi filem bertajuk Seo Bok tidak lama lagi.

Dalam drama berkisar manusia klon itu, Bogum bergandingan dengan Gong Yoo, pelakon yang popular menerusi drama Goblin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini