DALAM usaha menyantuni kebajikan golongan terpinggir, seramai 20 sukarelawan pertubuhan Kembara Syahadah Resources (KSR) baru-baru ini menjelajah ke beberapa perkampungan minoriti Orang Asli di Jerantut, Pahang.
Pada program tiga hari itu, sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, memfokuskan kerja dakwah dan bantuan kebajikan kepada penduduk minoriti Orang Asli etnik Batek di Kampung Kuala Sat dan Semaq Beri di Sungai Kucing.
Sukarelawan turut berkesempatan mengadakan aktiviti ziarah masyarakat Melayu di dua perkampungan iaitu Kampung Gusai dan Kampung Bantai, Hulu Tembeling dengan mengadakan ceramah serta bermalam di kampung tersebut.
Peserta menaiki pacuan empat roda dari bandar Jerantut ke Kampung Kuala Sat seterusnya menaiki bot penambang untuk sampai di perkampungan Orang Asli dan penempatan orang Melayu di Kampung Bantai.
Penyelaras program, Muhamad Supian Sari Mohd Sani, 25, berkata, hasrat mereka menjelajah ke pedalaman Hulu Tembeling adalah bagi menjalinkan ukhuwah dengan masyarakat Melayu dan saudara baharu Orang Asli sekali gus menjalankan usaha dakwah.
“Kami memperoleh maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai sebilangan Orang Asli yang sudah memeluk Islam di Kampung Sungai Kucing.
“Kami bermusafir ke sini semata-mata untuk menzahirkan tanggungjawab sosial dan kebajikan sekali gus membantu saudara baharu di sini supaya mereka selesa seperti Muslim di tempat lain,” katanya di Kampung Sungai Kucing, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, rata-rata sukarelawan KSR prihatin melihat kedaifan hidup dilalui 20 keluarga saudara baharu Orang Asli di Kampung Sungai Kucing.
“Program ini juga melibatkan usaha menyampaikan syiar Islam kepada Orang Asli etnik Batek di Kampung Kuala Sat yang masih belum memeluk agama Islam termasuk memberikan bantuan barang makanan dan aktiviti sukaneka kepada penduduk berkenaan,” katanya.
ZIARAH DAKWAH
Mengulas lanjut, pendekatan dakwah yang dilaksanakan oleh KSR ialah dengan menjelaskan bahawa Islam merupakan agama pembawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam termasuk penduduk Orang Asli Kampung Kuala Sat dan yakin mereka bakal menerima hidayah Allah.
Program ziarah itu lebih bermakna apabila seramai sembilan anak saudara baharu Orang Asli Kampung Sungai Kucing diberikan bantuan perkhidmatan berkhatan secara percuma.
Anak Orang Asli dari etnik Semaq Beri yang berusia antara 10 hingga 12 tahun itu diberi bantuan berkhatan oleh tiga pembantu perubatan yang juga ahli KSR yang menyertai kembara tersebut.
“Kami amat prihatin dengan nasib anak-anak ini yang belum berkhatan memandangkan jarak perjalanan ke bandar Jerantut sangat jauh malah masih menggunakan bot penambang untuk membawa anak mereka ke pusat perubatan bagi berkhatan,” kata Pembantu Perubatan, Khalid Othman, 47. Menurut Khalid, mereka berpeluang memberikan nasihat mengenai kepentingan berkhatan serta aspek penjagaan kebersihan diri serta kesihatan tubuh badan kepada penduduk kampung.
“Sebelum tiba di sini, kami memperoleh maklumat daripada Jakoa bahawa masih ada anak Orang Asli di sini yang belum berkhatan dan segera merancang untuk mengadakan majlis ini,” katanya.
Sementara itu sukarelawan KSR, Mohammad Hakimi Abdul Mutalib, 31, berkata, kembara tersebut memberi pengalaman baharu kepada sukarelawan terutama dirinya mengenai kesusahan saudara baharu dan asnaf di pedalaman negeri ini.
“Kami berharap lebih banyak pertubuhan dakwah dan kebajikan bermusafir ke pedalaman Hulu Tembeling untuk menjengah saudara baharu orang Asli dengan menitip bantuan tertentu termasuk pendidikan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Tok Batin Orang Asli Sungai Kucing, Aziz Isa, 62, bersyukur dan berterima kasih kepada sukarelawan KSR kerana menyumbangkan bantuan makanan serta perkhidmatan berkhatan kepada anak mereka.
“Sekiranya tidak ada bantuan berkhatan, sudah tentu anak kami masih belum berkhatan kerana kebanyakannya sudah berusia 12 tahun. Lagipun, kami tidak mampu berbelanja tambang bot penambang dan bayaran berkhatan di pusat perubatan di bandar Jerantut,” ujarnya.
Tambahnya, saudara baharu Orang Asli Sungai Kucing masih memerlukan bantuan kebajikan dan bimbingan ajaran Islam sambil berharap ada pertubuhan dakwah luar lebih kerap menziarahi mereka yang tinggal di pedalaman daerah ini.











