Minggu Sains Negara (MSN)yang dianjurkan kali ini agak unik dan mempunyai kelainan iaitu diadakan secara dua fasa melibatkan empat negeri dan Kuala Lumpur yang terlibat dalam fasa pertama. Dengan sekian banyak aktivit yang dirancang dan sebahagiannya telah berlangsung , kira-kira sejuta pengunjung disasarkan datang pada minggu kali ini.
Pengisiannya menunjukkan kesungguhan Kementerian Tenaga , Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mendekatkan sains kepada masyarakat dan bukan sebaliknya. Menterinya Yeo Bee Yin mahu supaya masyarakat menghargai sains dan kepentingannya dalam memacu pembangunan negara.
“MSN merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia dan kemajuan negara.
Penganjurannya juga dilaksanakan di beberapa buah negara lain seperti Afrika Selatan, China, Kanada, Norway, India, Thailand dan United Kingdom,” ujarnya pada majlis perasmian MSN di Pusat Sains Negara malam tadi.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Timbalan Menteri, Isnaraissah Munirah Majilis dan pegawai kanan kementerian.
MSN disasarkan kepada pelajar sekolah, siswazah, pendidik dan saintis belia, sektor awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Program tersebut disasarkan kepada golongan pelajar seusia dengan cabaran semasa dalam dunia sains terutaam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kepintaran buatan, virtual reality, augmented reality dan sebagainya. Asas kepada perkara ini adalah sejauh mana kefahaman, penghayatan dan kesedaran setiap individu mengenai keperluan tersebut.
Dalam masa yang sama ilmu dan pendidikan adalah teras dalam usaha mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi tersebut manakala pendidikan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah lagi untuk menyemai minat pelajar dalam bidang tersebut.
MSN pada tahun ini menetapkan jumlah sasaran seramai satu juta pengunjung yang terlibat dalam setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan.
Mobile Science Centre akan melaksanakan aktiviti di 24 lokasi seluruh negara yang menyasarkan penglibatan 2,100 buah sekolah.
Diharapkan program ini menarik minat pelajar dalam mata pelajaran sains dan teknologi seterusnya meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil jurusan STEM pada masa akan datang.
MSN 2019 akan turut mempamerkan hasil-hasil inovasi bagi penerima-penerima anugerah semasa Tahun Pengkomersialan Malaysia tahun lalu.
MSN 2019 merupakan sebahagian daripada Program MESTECC 2019 yang merangkumi 73 inisiatif di bawah tiga sektor utama iaitu tenaga, sains dan teknologi dan alam sekitar serta perubahan iklim.











