Pintar bersama sains maju bersama teknologi - Utusan Malaysia

Pintar bersama sains maju bersama teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu daripada prasyarat utama hendak mencapai negara maju adalah rakyatnya mempunyai ilmu dan menguasai sains dan teknologi.

Malaysia sedang menuju ke arah itu tetapi berdepan dengan banyak cabaran.,

Rakyat Malaysia perlu berupaya untuk menguasai sains dan teknologi untuk menyemarakkan lagi perkembangan ekonomi, kemajuan masyarakat dan sebagai sumber ekonomi baharu untuk memacu negara mencapai status negara maju.

Memuatkan artikel berkaitan…

Masyarakat perlu mempersiapkan diri untuk mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dengan mengamalkan dan mengadaptasi teknologi masa hadapan.

Perubahan yang dibawa oleh IR 4.0 dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal. Ini merangkumi Augmented Reality, kepintaran buatan (Artificial Intelligence) robotic, Internet of Things (IoT), Autonomous Vehicle, percetakan 3-D g, teknologi nano, bioteknologi dan perkomputeran awanan (cloud computing).

Pelbagai usaha perlu dilaksanakan dengan melahirkan lebih banyak bakat yang diperkasakan dengan kemahiran abad ke-21 untuk menerajui negara dalam bidang S&T dan mampu beradaptasi kepada teknologi disruptif.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sains dan seterusnya melahirkan lebih ramai lagi generasi penyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi.

Bagi memastikan keperluan modal insan ini tercapai, pembudayaan inovasi dan kreativiti di semua peringkat masyarakat perlu dipergiat menerusi pelaksanaan program dan aktiviti berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI). IR 4.0 meletakkan cabaran yang hebat kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan kita melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing sama ada di dalam atau luar negara.

Cabarannya menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, AI, virtual reality, augmented reality dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, asas kepada perkara ini adalah sejauh mana kesedaran setiap individu mengenai keperluan tersebut. Ilmu dan pendidikan adalah teras dalam usaha mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi tersebut.

Dalam hal ini pembudayaan dalam bidang tenaga, sains teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim (ESTECC) menggambarkan tanggungjawab merujuk kepada nama kementerian itu sendiri.

Pendidikan ESTECC perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah lagi untuk menyemai minat pelajar dalam bidang tersebut kerana merekalah yang akan melahirkan sumber manusia berasaskan sains dan teknologi bagi memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penyelidikan, perindustrian, pembangunan dan penyelenggaraan.

Pembudayaan ESTECC merupakan salah satu inisiatif kementerian terlibat bagi membantu menarik minat pelajar terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan Matematik) serta sebagai platform pendedahan ilmu ke arah memilih aliran pendidikan dan kerjaya terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Dalam hal ini minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar juga perlu diberikan perhatian serius. Perkara ini penting bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan keperluan negara.

Secara tidak langsung, program ini akan meningkatkan pembangunan modal insan dan menarik minat pelajar untuk memilih bidang dan jurusan STEM sebagai kerjaya serta mengiktiraf sumbangan saintis, ahli akademik serta individu dalam mempromosikan sains.

Program kesedaran sains teknologi dan inovasi (STI) memerlukan penglibatan semua pihak secara berterusan dan menyeluruh. Bagi memberi impak yang lebih besar dan menyeluruh, adalah wajar satu minggu khas dikhususkan sebagai satu inisiatif untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan.

Bagi merealisasikan aspirasi ini, penganjuran minggu sains harus dilaksanakan dengan menggemblengkan semua aktiviti berteraskan STI anjuran kementerian, industri dan sektor swasta. Penglibatan menyeluruh semua pihak seperti guru, pelajar, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan industri diyakini dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kepentingan STI.

Menyedari akan kepentingan dan cabaran bidang sains, Kementerian Tenaga Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menganjurkan Minggu Sains Negara (MSN) pada minggu ini bagi menjana minat orang ramai akan kepentingan bidang tersebut.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya , berkata, pameran pada kali ini menampilkan konsep yang menepati perkembangan sains semasa termasuk berkaitan STEM dan IR 4.0.

“Kita akan tampilkan peralatan berkaitan teknologi IoT, augmenterd reality yang dapat menarik minat pelajar dalam sains dan matematik serta bersifat interaktif,’’ ujarnya.

Penganjuran minggu atau hari sains telah diamalkan di beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, China, Kanada, Norway dan United Kingdom manakala negara seperti India dan Thailand memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan hari sains.

Penganjuran program ini adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sejak 2002.

Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 telah bersetuju supaya kementerian berkenaan menganjurkan MSN di seluruh negara setiap tahun sebagai salah satu inisiatif sains kebangsaan.

MSN merupakan salah satu daripada inisiatif MESTECC dalam usaha memupuk minat terhadap ilmu sains.

Sambutan ini akan mengenengahkan pelbagai hasil usaha kerajaan dalam menggalakkan pembangunan dan kemajuan STI negara.

Kata beliau, MSN sewajarnya menjadi platform untuk menyemarak dan membudayakan STI di pelbagai peringkat dan penglibatan semua yang terlibat.

“Seterusnya ia memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya STI dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju,” ujarnya lagi.

MSN 2018 yang julung kalinya diadakan pada 1 hingga 7 April 2018 telah mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

Sains untuk kesejahteraan

Dalam pada itu, Sains Untuk Kesejahteraan dipilih sebagai tema Minggu Sains Negara (MSN) 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar khususnya dan orang ramai tentang penjagaan alam sekitar bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kita tumpukan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna pada Minggu Sains Negara kali ini,” ujar Dr. Mohd. Azhar.

Katanya, ini penting bagi memberi peringatan dan meningkatkan kesedaran dalam pengurusan alam sekitar selain kepada pembangunan ekonomi.

Kata beliau, matlamat kementerian adalah bagaimana sains dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan bagaimana sikap kita terhadap alam sekitar.

“Kita kena menyayangi alam sekitar dan sejauh mana kita memahami peranannya dalam menjamin kehidupan yang lebih sejahtera,” ujarnya sambil merujuk kepada isu pembuangan sisa toksik yang mencemarkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Justeru katanya, tema tersebut adalah signifikan kepada kehidupan seharian manusia kerana sains dan teknologi memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat.

Memandangkan pembangunan teknologi diperlukan untuk pembangunan negara, adalah sangat penting untuk menyepadukan ilmu sains dan teknologi dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran.

Kadar perkembangan teknologi yang pesat memerlukan pertimbangan yang teliti dan bermakna ke arah teknologi yang mencerminkan perkongsian nilai masyarakat dan persekitaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini