REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram, 60, menyatakan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dekat sini.
Pakar bius Pusat Perubatan Nilai ketika menekankan komitmen itu berkata, beliau juga akan memastikan kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) di kawasan tersebut terbela.
Atas dasar tersebut, beliau meluangkan masa melawat Bengkel Seri Sembilan dekat sini yang mana seramai 45 penghuni OKU meraih sumber pendapatan dengan bertani, menjahit dan menghasilkan sampul surat.
“Pusat ini menarik perhatian saya kerana semua penghuninya merupakan golongan OKU yang meraih pendapatan dengan bercucuk tanam, menternak ayam, menjahit pakaian dan menghasilkan sampul surat.
“Golongan OKU ini saya lihat tekun bekerja dan melakukan tugas dengan baik. Jadi, saya bercadang agar bengkel ini dibantu khususnya dengan penyertaan pihak swasta agar nasib golongan seperti ini terbela,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Streram memaklumkan, Bengkel Seri Sembilan diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Negeri Sembilan yang diberi mandat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagaimanapun, ujarnya, pusat tersebut berdepan masalah kerana banyak kemudahannya yang telah uzur seperti pagar, sistem kumbahan, parit serta bangunan sekali gus memerlukan ia dibaiki segera. – K! ONLINE











